Beijing: Seorang lelaki sanggup mengemis memakai topeng kuda dan menawarkan orang ramai ‘menunggangnya’ dengan bayaran lima kuai (RM4) semata-mata mahu mengumpulkan wang untuk rawatan leukemia.
Anaknya didiagnos menghidap penyakit itu pada 2011 dan lelaki terbabit dilaporkan memerlukan 200,000 RMB (RM120,000) dan masih menanggung hutang sebanyak 160,000 RMB (RM96,000).
Malangnya penyakit anaknya kembali Mac lalu menyebabkan dia tiada pilihan selain mengemis bagi membolehkanya membeli ubat serta mendapatkan rawatan lanjut untuk budak itu.
Gambar disiarkan Tencent menunjukkan bapa berusia 38 tahun itu melutut di sebelah papan tanda yang menunjukkan gambar anaknya dan keterangan mengenai keadaan mereka secara ringkas selain merayu orang ramai menyokong usahanya.
“Tunggang sekali untuk lima kuai. Mereka yang baik hati pasti memilih menunggang sekali saja,” kata papan tanda itu.
Lelaki itu berkata dia menerima beberapa ratus yuan sehari malah ada juga yang bermurah hati mendermakan lebih banyak wang.
Dia mengakui pengalaman itu amat menginsafkan dan tidak menafikan ramai yang memandang hina cara dia mendapatkan wang.
Malah anaknya juga tidak mengetahui cara dia mendapatkan wang kerana dia menyorokkan topeng kuda itu. - Agensi
0 comments:
Post a Comment