JOHOR BAHRU - Penduduk di PPR Kempas Permai gempar dengan penemuan anggota badan bayi yang dibuang dalam loji kumbahan berdekatan kawasan pangsapuri tersebut, kelmarin.
Rata-rata penghuni mengutuk dan mengecam perbuatan pelaku yang disifatkan terlalu kejam dan zalim.
Menurut pekerja kilang, Ismail Daud, 47, yang menetap di Blok C pangsapuri tersebut sejak tujuh tahun lalu, dia mengesyaki sesuatu berlaku di loji kumbahan itu ketika sedang menikmati makan tengah hari di sebuah kedai berhampiran.
“Saya tengah minum di gerai kira-kira jam 1 tengah hari apabila nampak polis dan pihak pengurusan ke loji kumbahan tersebut kira-kira 200 meter dari sini.
“Pada awalnya saya dimaklumkan pam di situ dicuri namun amat terkejut apabila diberitahu mayat bayi yang telah dikerat,” katanya.
Sementara itu, suri rumah Haslinda Mohd Amir, 38, berkata, dia tidak menyedari kejadian tersebut kerana loji kumbahan merupakan kawasan larangan dan pintu masuk terletak di bahagian belakang perumahan.
“Seperti biasa saya ambil anak balik sekolah di bawah pangsapuri ini kira-kira jam 12 tengah hari, ketika itu memang ada nampak kehadiran polis, cuma tidak menduga sesuatu yang buruk berlaku. Sebaik suami pulang, dia beritahu penemuan bayi yang dikerat, saya amat terkejut dan pilu mengenangkan tindakan pelaku yang cukup kejam,” katanya yang ada dua anak.
Manakala menurut penjual insurans, Khairol Husna Abdul Halim, 36, ini adalah kes kedua pembuangan bayi sepanjang enam tahun dia menetap di situ.
“Tahun lalu ada bayi dibuang di tong sampah, tetapi kali ini lebih tragis lagi. Saya tidak dapat membayangkan tindakan pelaku ketika mengerat bayi itu.
“Perbuatan itu amat tidak berperikemanusiaan dan (pelakunya) perlu dihukum setimpal dengan perbuatannya,” katanya.
PPR Kempas Permai mempunyai 1,288 unit kediaman di empat blok 17 tingkat, dihuni kira-kira 6,000 penduduk.
sumber : shonline
0 comments:
Post a Comment