Baru-baru ini, video #SayaZahra yang disampaikan oleh Siti Azzahra Abd Razly, menjadi viral di media sosial. Tidak menjangkakan perkara tersebut Zahra tidak menduga pelbagai reaksi yang diterima olehnya dek kerana video berdurasi 6 minit itu.
Secara rumusannya, Zahra mencerita masalah kewangan yang dihadapi oleh golongan-golongan muda zaman kini. Ramai yang bersetuju dengan pendapat Zahra. Tidak kurang ramai juga yang mengkritik ucapannya itu. Malah ada juga mengatakan Zahra hanya mahu mendapatkan perhatian di atas pentas.
Akibat dari reaksi yang pelbagai dari orang ramai, Zahra mengaku dia menangis apabila kritikan bertali arus itu turut ditujukan kepada keluarga Zahra.
"Orang menyerang hidup peribadi saya, cakap Zahra ini merengek, serang keluarga saya, kata mereka tidak membesarkan anak dengan baik.
"Orang kata saya bercakap di atas (pentas) bagi mendapatkan perhatian sedangkan sebenarnya tidak.
"Jadi, benda ini sangat menyakitkan sedangkan saya buat ini untuk semua orang," kata Zahra ketika diwawancara oleh portal The Malaysian Insider.
Menurut Zahra, para pengkritik terutamanya dalam isu Zahra menyewa rumah sewa RM4,000 sebulan tidak dapat menangkap apa sebenarnya yang mahu diceritakan.
"Maksud saya, rumah di Kuala Lumpur yang dekat dengan tempat kerja, kosnya mungkin RM500 seorang, saya tidak mampu.
"Jadi, saya cari rumah lain yang lebih murah tetapi terpaksa berkongsi dengan 8 orang. Sewanya, kalau dalam RM200 atau RM250 seorang itu, kira okay.
"Saya faham ramai yang nampak video itu macam merungut tapi mereka tidak nampak mesej di sebalik video itu," katanya.
Zahra berkata, apa yang diceritakan olehnya sebenarnya berkisarkan kisah dirinya yang secara kebetulan tepat dengan Laporan Sosioekonomi Melayu 2014.
Kata Zahra lagi, peluang untuk berucap di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu digunakan sebaik mungkin bagi menyampaikan terus mesej dalam laporan tersebut.
"Dalam acara sedemikian kita tidak boleh ikut emosi. Kita tidak boleh lontarkan semuanya kepada beliau (Muhyiddin).
"Jadi, penceritaan itu untuk mendapat perhatian mereka yang di atas terhadap mesej kita," kata beliau lagi.
Mengulas satu lagi isu yang diucapkannya yang mendapat kritikan ramai, iaitu kenyataan cara keluar dari kesusahan hidup dengan mengahwini lelaki kaya, Zahra berkata dia hanya mahu berseloroh.
"Bahagian itu saya sebenarnya mahu berseloroh, ia sebahagian daripada penceritaan. Ia bukan bermakna betul-betul mahu kahwin dengan orang kaya.
"Saya cuma mahu berseloroh kerana mood pada masa itu pun tegang, sekurang-kurangnya orang akan ketawa sedikit," kata Zahra.
Zahra turut menegaskan kisah yang diceritakan olehnya itu adalah kisah benar. Begitu juga dengan cerita penggunaan kereta MyVi.
"Orang ingat saya baru tamat pengajian sudah mahu beli kereta. Bukan begitu. Kereta itu ayah saya punya. Saya bayar dekat dia itu sebagai penghargaan padanya.
"Jadi sekarang saya pakai kereta dia, dia pakai motosikal saja. Sebelum ini saya tiada kereta, saya memang guna pengangkutan awam.
"Naik LRT, monorel, KTM (komuter) semua saya naik. Saya balik kampung pun, saya naik keretapi," kata Zahra.
Selain itu Zahra turut mempunyai pesanan kepada mereka-mereka yang turut berkongsi kisah hidup di laman Facebook "Saya Zahra"
"Saya ucapkan terima kasih kerana mereka menjadi inspirasi saya, bagi nasihat kepada saya." – Siakapkeli.my
sumber : siakapkeli